Monday, December 14, 2009

Maulidurrasul “WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH”

Marilah Sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan kita perlu meyakini janji Allah swt bahawa ganjaran pahala dan kejayaan besar kepada orang-orang yang taat akan tetap dianugerahkan oleh-Nya.
Sama-samalah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa kebenaran serta membawa berita gembira bagi orang mukmin dan begitulah sebaliknya bagi mereka yang ingkar. Semoga selawat dan salam yang telah dilafazkan kepada nabi besar kita Muhammad SAW yang telah membawa amanah serta menyampaikan risalah kepada kita akan menyuburkan lagi kecintaan kita kepada insan teragung ini.
Bagi umat Islam di negara kita Malaysia, mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul sudah menjadi tradisi. Antara lain bertujuan untuk memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW. Ia memberi suatu pengertian yang bermakna demi keagungan baginda yang telah berjuang demi nilai-nilai kemuliaan dalam kehidupan manusia seluruhnya. Baginda SAW tidak mengenal erti kepayahan dan kesengsaraan bahkan kepayahan inilah yang menjadi intipati kepada kecemerlangan Islam yang kita nikmati pada hari ini.
Oleh yang demikian, amat wajar bagi umat Islam seluruhnya memperingati hari bersejarah ini, iaitu hari kebesaran pemimpin agung yang telah membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan serta mengeluarkan mereka dari alam kekufuran kepada nur hidayah yang mengesakan Allah SWT. Pengorbanan Rasulullah SAW melalui sifat-sifat baginda yang mulia itu telah membuatkan para bijak pandai dari kalangan umat Islam mahupun yang bukan Islam, para cendekiawan, para alim ulama’ dari seluruh dunia telah bersepakat bahawa riwayat hidup dan perjuangan Rasulullah SAW daripada kecil hingga akhir hayatnya adalah yang paling banyak diperkatakan, ditulis, diteliti dan dikaji daripada segenap segi dan sesuai untuk dijadikan ikutan, panduan dan sebagai ‘role-model’ (contoh ikutan) dalam usaha manusia membentuk muslim yang bertaqwa. Kita meyakini bahawa jika kita menerima pakai atau mengikut sifat-sifat mulia yang pernah dibuat oleh Rasulullah SAW nescaya tidak akan wujud masalah dalam masyarakat, tidak pincang dalam pengurusan, tidak timbul perbalahan dan pelbagai unsur negatif dalam ummah.
Antara yang kita perlu hayati dalam kehidupan Rasulullah SAW ialah kepimpinan baginda yang menjadi suatu rahmat bagi kita sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 107.
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Antara rahmat yang dibawa oleh Rasulullah SAW ialah baginda dapat mendamai dan menyatupadukan masyarakat Arab Jahiliah daripada satu masyarakat yang biadap, bengis, kasar dan kejam kepada suatu masyarakat yang bersopan santun, berbudi bahasa dan berkasih sayang. Baginda Rasulullah SAW dapat membawa masyarakat Arab Jahiliah ketika itu dari alam kekufuran dengan menyembah pelbagai berhala, kepada keimanan dan mentauhidkan Allah. Jelasnya rahmat yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu iaitu agama Islam. Selama 23 tahun Rasulullah SAW menyeru masyarakat Arab di kota Mekah dan Madinah kepada ajaran Islam dengan tidak berhenti-henti, seruan demi seruan sehingga tertegaklah Islam ke seluruh dunia sampai ke zaman kita sekarang ini. Alhamdulillah, telah pun sama-sama kita rasai nikmat ‘Iman dan Islam’. Selama 23 tahun Rasulullah SAW memupuk semangat perpaduan dan berkasih sayang sesama manusia, tetapi amat mendukacitakan kita kerana masih ada dari kalangan masyarakat kita kurang memahami prinsip perpaduan yang dikehendaki dalam Islam, menyebabkan perpaduan menjadi perpecahan, kasih sayang menjadi benci membenci dan sebagainya. Semua ini dapat dielakkan oleh umat manusia melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
((Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang mana sekiranya kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW)).
Bersesuaian dengan tema “WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH” pada sambutan tahun ini, marilah kita berusaha memartabatkan kembali kemuliaan kita sebagai umat Muhammad s.a.w. Persiapkanlah diri kita dengan segala ilmu dan kemahiran bagi menghadapi cabaran pembangunan di hadapan kita. Memperingati Nabi Muhammad SAW bukanlah dengan hanya mengadakan majlis-majlis sambutan, ceramah-ceramah atau perarakan sahaja, malah apa yang paling dituntut ialah sejauh mana kita menghayati dan mengikut segala ajaran serta amanah-amanah yang telah disampaikan oleh Rasul junjungan kepada kita. Kita kesal kerana terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab sanggup menghina nabi junjungan kita dan kita umat Islam seluruhnya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang melampau ini. Telah jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW adalah pemimpin agung dunia dan menjadi kewajipan kepada kita supaya mengambil pengajaran dengan menghayati kepimpinan yang ada pada diri Rasulullah SAW melalui contoh-contoh dan tauladan yang telah disampaikan. Allah berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:
Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang dan ingatlah kepada Allah banyak-banyak”.

Sunday, December 13, 2009

KERUNTUHAN MORAL REMAJA SEKARANG

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada allah s.w.t dengan melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya.Marilah kita bersama-sama melaksanakan amar makruf nahi munkar,mudah-mudahan kita menjadi sebaik-baik umat yang dijanjikan oleh allah s.w.t sebagaimana firmannya didalam surah ali-imran ayat 110:
"Kamu (wahai umat muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia,(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),serta kamu pula beriman kepada allah (dengan sebenar-benar iman)".
Umat manusia diakhir zaman ini sering berhadapan dengan pelbagai bentuk krisis ekonomi,alam sekitar,keluarga dan lain-lain lagi,namun ianya tidaklah sehebat krisis yang dihadapi oleh diri manusia itu sendiri,yang mampu menghancurkan seluruh kehidupannya baik didunia mahu pun diakhirat.Krisis yang dimaksudkan itu ialah keruntuhan moral dan akhlak.
Para sarjana islam sering memberikan maksud yang berbeza diantara definisi moral dan akhlak.Namun pada hakikatnya masalah keruntuhan moral dan akhlak yang berlaku pada masa kini tidak pernah membeza-bezakan manusia samada islam mahu pun bukan islam,muda mahu pun tua,kanak-kanak mahu pun dewasa dan sebagainya.Masalah-masalah moral seperti lesbian,gay,homoseks dan sebagainya telah menjadi perkara lumrah dikalangan muda mudi sehingga memaksa pihak pemerintah disesetengah negara mewujudkan pula undang-undang yang membolehkan perkahwinan sesama jenis dilaksanakan didalam negara mereka.Nauzubillah himin zalik.
Didalam negara kita ini,masalah moral dan akhlak yang melanda umat islam dan bangsa-bangsa lain juga tidak kurang hebatnya.Kegiatan pelacuran yang kian berleluasa baik dihotel-hotel besar mahu pun dirumah-rumah tumpangan amat dibimbangi akan merosakkan masa depan generasi muda kita.Tangkapan demi tangkapan telah acap kali dilakukan oleh pihak berkuasa agama,tetapi nampaknya ia tidak dapat menyedarkan pelaku-pelaku maksiat dari terus bergelumang dengan noda dan dosa.Apa yang menyedihkan lagi,sejak akhir-akhir ini kita seringkali didedahkan aiakhbar-akhbar dan di kaca television mengenai kes-kes tidak bermoral dikalangan masyarakat kita.Jenayah rogol umpamanya,bukan sahaja berlaku dikalangan muda-mudi,tetapi juga melibatkan golongan tua mahu pun remaja,bahkan berlaku juga dikalangan pelajar-pelajar.Inilah yang amat membimbangkan kita semua kerana generasi pelajar ini adalah merupakan generasi warisan yang akan menerajui kepimpinan negara kita suatu masa kelak.

Friday, December 4, 2009

Sambutan Kemerdekaan



Tema hari kemerdekaan ke 52 ialah ”1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapian Diutamakan ”
Rakyat seharusnya menjadi mata dan telinga untuk memastikan gagasan ini tercapai ,,,

“Allah telah mendatangkan kami, untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki, dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada TUHAN Manusia, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam,”
Untuk saya, itu adalah takrif merdeka.
Merdeka dari perhambaan selain Allah SWT. Merdeka dari kesempitan dunia ini kepada keluasan Akhirat. Merdeka dari kezaliman kepada keadilan yang dianjurkan oleh Islam.
Manusia rasa dia tidak merdeka apabila dia disuruh taat kepada Allah.
Apakah sama taat kepada yang dicipta, dengan yang mencipta?
Taat dengan manusia, ada kalanya satu kemuliaan, dan ada kalanya satu kehinaan. Namun, taat kepada Allah, sentiasa merupakan satu kemuliaan. Sesaat pun tiada kehinaan. Susah kita dibayar, penat kita dibalas. Menahan nafsu pun mendapat pahala, apatah lagi berbuat amal kebaikan dalam kehidupan kita. Semuanya ada ganjaran. Walau sebesar zarah.
Dengan memepunyai kemerdekaan yang hakiki ini, barulah kita mampu melepaskan diri dari ‘penjajahan yang lebih besar’.
Apakah penjajahan yang lebih besar?
Bukannya penjajahan sesebuah negara, tetapi penjajahan minda dan aqidah.
Negara kita, sudah 52 tahun merdeka. Namun anasir-anasir luar masih pekat dalam kehidupan masyarakat. Agama rasmi kita adalah Islam, namun tiada perkembangan dalam mempraktikkannya dalam perundangan secara menyeluruh. Kita masih mengambil produk-produk barat. Kita masih tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Masih ada unsur perpecahan dan sebagainya.
Kenapa? Kenapa masih begitu? Kerana kita dijajah dari dalam. Dari minda. Dari dalam hati. Penjajahan fizikal, mungkin kita boleh tentang dengan fizikal juga. Namun, dijajah oleh minda, hanya yang tersedar sahaja yang mampu menentangnya.
Kadang-kadang, ada manusia tidak mahu membincangkan hal kemerdekaan yang sebenar ini. Dia takut. Takut untuk menyedari bahawa dia sebenarnya belum merdeka. Dia lebih rela, untuk duduk dalam mimpinya.
“Saya merdeka, saya merdeka” Tapi pakaiannya pakaian penjajah, hidupnya hidup penjajah. Dan ketahuilah bahawa, penjajahan itu masih berjalan, berjalan dan terus berjalan, merayap mempengaruhi kehidupan kita, keluarga kita dan masyarakat kita.
Manusia yang tidak memahami tuntutan Allah SWT kepada-Nya, dan tidak faham pula akan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabatnya, tidak akan mampu untuk melepaskan dirinya dari penjajahan.
Kita sebagai orang Islam, hidup dengan matlamat untuk mendapat redha Allah, pada mata kita, segala apa yang terkeluar dari perintah Allah SWT, dan termasuk dalam larangan-Nya, adalah satu penjajahan pada kita.
Sebagaimana kita punya datuk nenek berusaha kuat menentang Jepun, British, Belanda, Bintang Tiga, lebih dari itu lagi kita perlu kuat menentang penjajahan jahiliyyah yang cuba membuatkan kita jauh daripada Allah SWT.
Lihatlah Rasulullah SAW. Andai erti merdeka itu adalah pembebasan sesebuah negara, maka baginda akan menyuruh sahabat-sahabatnya tidak keluar berdakwah dari Madinah dan Makkah. Baginda, akan menghentikan segala usaha baginda selepas Fathu Makkah.
Tetapi, bukankah usaha baginda berterusan walau selepas kewafatannya?
Kerana, merdeka yang sebenar, adalah apabila manusia bebas dari jahiliyyah, bebas dari penghambaan sesama manusia. Bebas dari kezaliman agama. Bebas dari kesempitan dunia.
Siapakah yang hendak menyatakan bahawa dia telah merdeka dengan sebenarnya?
Maka dia perlu melihat perjuangan Rasulullah SAW yang membawa kita kepada kemerdekaan sebenar, dan ukur pada apa yang sedang dia lakukan.
Merdeka kah kita?

ps** Ramadhan bulan perubahan. mari kita berusaha memerdekakan diri kita dari jahiliyyah!