Wednesday, March 3, 2010

Kelebihan Bulan Rabiul Awal

TANGGAL 12 Rabiulawal pada tahun Gajah, tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang disambut dengan tasbih dan tahmid memuji kebesaran Allah s.w.t. oleh seisi alam semesta sebagai tanda gembira.

Dalam memperingati hari kelahiran Baginda s.a.w, umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira warna kulit dan bangsa turut menyatakan kesyukuran dengan melahirkan kegembiraan tatkala meraikan bulan kelahiran Rasulullah ini.

Di samping meraikan Rabiulawal sebagai bulan kelahiran Rasulullah s.a.w, terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku di sepanjang bulan kelahiran Rasulullah s.a.w. Peristiwa-peristiwa ini mempunyai nilai lahir kepada umat Islam dalam mengenang sirah perjuangan Nabi Muhammad memancarkan sinar Islam kepada umat manusia. Umat Islam juga dianjurkan melakukan amalan-amalan sunat pada bulan ini.

Terdapat dua pendapat tentang kelahiran Nabi Muhammad. Ulama-ulama Syiah berpandangan bahawa tarikh kelahiran Rasulullah ialah pada 17 Rabiulawal dan sebahagian ulama (Sunnah) menyatakan pada hari Isnin 12 Rabiulawal.

Hari kelahiran Nabi Muhammad adalah hari paling agung kepada umat Islam. Perbezaan pendapat ini bagaimanapun tidak wajar dijadikan pertikaian kerana apa yang lebih penting ialah kelahiran Nabi s.a.w adalah dalam bulan Rabiulawal. Al-Syaikh dalam kitab al-Misbah berpendapat, Rasulullah lahir ketika terbit fajar pada hari Jumaat bulan Rabiulawal dalam tahun Gajah.

Dalam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w atau lebih dikenali sebagai ‘Maulid Nabi' ini, umat Islam digalakkan berpuasa sunat, mandi sunat, berziarah ke makam Baginda dan mengerjakan amalan-amalan mulia serta memperbanyakkan tasbih, tahmid dan selawat.

Peristiwa Rasulullah s.a.w dikepung oleh para pengikut Abu Jahal yang merancang untuk membunuh Baginda berlaku pada hari pertama Rabiulawal. Abu Jahal merancang untuk membunuh Rasulullah s.a.w ekoran tidak bersetuju dengan amalan Islam yang menghalang penyembahan berhala, sebaliknya hanya kepada Allah s.w.t.

Ketika itu, Saidina Ali bin Abi Talib rela berkorban mempertahankan Rasulullah daripada rancangan jahat puak kafir tersebut dengan menawarkan dirinya untuk berada di tempat tidur Baginda demi keselamatannya.

Tindakan Saidina Ali itu menggambarkan betapa luhurnya rasa kecintaan seorang sahabat Rasulullah terhadap Baginda sehingga sanggup berkorban untuknya.

Justeru, umat Islam disunatkan untuk berpuasa sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, Rasulullah dan Saidina Ali selamat daripada rancangan jahat puak musyrikin Quraisy.

Mengikut sesetengah pendapat, umat Islam digalakkan menziarahi makam Baginda s.a.w, memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah.

Amalan bersedekah pula merupakan amalan yang paling digalakkan di dalam Islam. Ia tidak ditetapkan waktu sebaliknya ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Rasulullah s.a.w bernikah dengan Siti Khadijah binti Khuwailid pada hari ke sepuluh bulan ini. Dan pada bulan yang sama pada tahun Gajah, bapa saudara Rasulullah iaitu Abdul Mutalib meninggal dunia.

Setelah Rasulullah keluar daripada Jabal Thur, Baginda menuju Madinah setelah mendapat perintah Allah s.w.t untuk melakukan hijrah yang pertama.

Ahli sejarah Islam berpendapat, Baginda tiba di Quba pada 12 Rabiulawal sebelum menetap di sana selama empat hari. Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah pada 16 Rabiulawal dan singgah di Wadi Ranuna' atau Wadi Slim.

Di sinilah Rasulullah s.a.w menunaikan solat Jumaat pertama di Madinah bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu. Oleh demikian, sebuah masjid bernama Masjid Al-Jumaah telah dibina bersempena dengan peristiwa tersebut.

Hasbi Ash Shiddiqi dalam pengantar Tafsir Al-Bayan menyatakan, ayat Nubuwwah yang menyatakan Nabi Muhammad di angkat sebagai Nabi turun pada bulan Rabiulawal. Di dalam kitab ini dinyatakan bahawa wahyu Allah yang pertama ialah surah Al-Alaq dan diikuti surah al-Mudattsir.

Sementara itu, Jabir dan Ibnu Abbas berpendapat, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w berlaku pada hari Isnin 12 Rabiulawal, tiga tahun sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Sesungguhnya, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rabiulawal mengandungi nilai yang amat tinggi dalam perkembangan Islam. Perjuangan Rasulullah s.a.w menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelosok alam tidak berlaku dalam masa yang singkat.