Friday, January 15, 2010

MENDIDIK ANAK SEAWAL USIA

Didik Anak-anak Membaca Dari Kecil

Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak adalah individu yang paling besar keinginannya untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menyelidik. Keupayaan mereka untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu perkara akan bertambah-tambah jika mereka dapat mencuba dengan cepat dan berkesan.
Justeru itu, terdapat kata-kata mutiara yang sangat bererti, "Membaca adalah hak setiap kanak-kanak." Ibu bapa yang gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan kemahiran membaca akan melihat anak-anak mereka kelak tertinggal dalam dunia persaingan hari ini. Apatah lagi, pelbagai mata pelajaran dan bahan rujukan di sekolah, maktab hinggalah institusi pengajian tinggi banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Mengajar membaca kepada anak-anak bukan sekadar bahasa ibunda, malah sebaiknnya dikembangkan kepada bahasa-bahasa yang lain juga.
Mengapa kemahiran membaca penting?

Keupayaan membaca menjadikan diri kanak-kanak lebih yakin, aktif dan bertenaga. Kemahiran membaca peringkat awal ini berkait dengan tiga agenda kehidupan manusia sepanjang masa.

1. Iktibar wahyu pertama

Wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah perintah membaca. Dengan perantaraan membaca dan tulisan, Allah SWT mengajar banyak pengetahuan kepada manusia. Jika perkara membaca ini telah dikuasai oleh kanak-kanak sejak usia tiga tahun, maka lebih banyaklah pengetahuan yang diperolehi. Firman Allah SWT dalam surah Al-Alaq ayat 3 hingga 5 yang bermaksud; "Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan pada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Daripada perspektif Islam, mengajar kanak-kanak adalah satu tugas yang murni, amat penting dan diberi keutamaan. Contoh yang amat jelas kepada kita ialah peristiwa selepas peperangan Badar iaitu Rasulullah SAW telah membuat keputusan mengenai tawanan perang seramai 70 orang. Mereka diberi dua pilihan iaitu bagi tawanan yang punya banyak harta, dia boleh menebus diri dengan wang, manakala bagi yang miskin tetapi pandai membaca, dia dikehendaki mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga pandai.

2. Merangsang perkembangan otak

Selepas bayi dilahirkan, biasanya ibu bapa dan keluarga sangat sibuk menyediakan keperluan fizikal seperti lampin, tempat tidur, pakaian dan keperluan-keperluan fizikal yang lain. Tetapi jarang sekali orang yang menyediakan keperluan untuk otak bayi yang sedang membangun pesat. Ketika lahir bayi biasanya mempunyai 1,000,000,000,000 (1 trilion) hingga 1,200,000,000,000 (1.2 trilion) sel otak. Dalam masa setahun, saiz otak menjadi tiga kali ganda.
Masa yang paling sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah ketika otak mereka sedang pesat membangun iaitu 25 peratus ketika lahir, 50 peratus ketika berumur enam bulan, 85 peratus ketika berumur tiga tahun dan 95 peratus ketika mencapai umur enam tahun. Maklumat yang diperolehi daripada kajian ini menunjukkan kadar kepesatan otak membangun dan berkembang ialah semasa berumur 0 hingga 3 tahun. Jika rangsangan dan kemahiran membaca diberikan pada masa ini, ia akan memberi kesan yang paling optimum untuk meningkatkan tahap kecerdikannya.
Kanak-kanak adalah golongan yang paling cepat mempelajari bahasa. Keupayaan mereka menambah perbendaharaan kata semakin bertambah setiap hari kerana mereka sentiasa bertanya dan ingin belajar. Apabila mencapai umur 5 tahun, dianggarkan 10,000 perbendaharaan kata telah terbentuk dalam diri mereka.
Kecerdikan kanak-kanak mempelajari bahasa boleh diperhati daripada keupayaan memilih perkataan tertentu dan menyusunnya menjadi struktur ayat yang difahami. Kanak-kanak boleh diajak bercakap dan membaca dengan betul sebelum berumur lima tahun. Oleh yang demikian, kemahiran membaca pada peringkat awal dapat mempercepatkan proses penguasaan sesuatu bahasa di kalangan kanak-kanak.

3. Persediaan awal ke sekolah

Pada hari ini, hampir sebahagian besar kanak-kanak didedahkan kepada kemahiran membaca ketika memasuki Darjah Satu. Namun begitu, ramai juga yang gagal membaca walaupun telah belajar tiga atau empat tahun di sekolah. Keadaan ini amatlah mengecewakan kerana kejayaan dan masa depan mereka telah mula diramalkan amat gelap. Bagi ibu bapa yang mengambil berat tentang kemahiran membaca terhadap anak-anak akan mendapati jauh lebih mudah mengajar anak-anak di peringkat umur tiga tahun berbanding enam tahun kerana kemampuan mengingat dan menyerap maklumat sangat kuat dan pantas.
Kanak-kanak belajar membaca awal biasanya lebih terkehadapan, lebih maju dan boleh bersaing dengan rakan-rakan apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Apabila diuji dengan peperiksaan, tentulah mereka lebih cepat dan tangkas memberi jawapan.
Membaca membina karektor. Kepetahan bercakap berkembang sedikit demi sedikit jika karektor ini dibina, dibentuk dan dikembangkan dengan bersistematik. Terlalu banyak faedah membaca kepada kanak-kanak jika ibu bapa memberi tumpuan khas kepada mereka.

No comments:

Post a Comment